Saturday 26 February 2011

MASJID AT-TAQWA LAHAR YOOI


UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA ARAU, PERLIS

TAJUK:
MASJID AT-TAQWA LAHAR YOOI

DISEDIAKAN OLEH:
NAMA: HILWA BINTI HILMY
NO MATRIK: 2010269714
KUMPULAN: BMB 2Bb                                      

DISEDIAKAN UNTUK:
USTAZ ABDUL AZIZ BIN HARJIN

PROGRAM:
IJAZAH SARJANA MUDA PENGURUSAN PERNIAGAAN (KEPUJIAN) KEWANGAN

TARIKH HANTAR:
3 MAC 2011

TAJUK:
MASJID AT-TAQWA LAHAR YOOI

1.     Isi kandungan
   2.     Penghargaan
   3.     Abstrak
   4.     Pendahuluan
   5.     Sejarah dan Latar Belakang Masjid 
   6.     Kemudahan - Kemudahan Masjid
   7.     Peranan Masjid Kepada Masyarakat
   8.     Program Masjid  
 9.     Masalah-Masalah Yang Dihadapi Dan Penyelesaian
  10.   Cadangan Kepada Masjid
  11.   Komen dan Cadangan Diri Sendiri dan Masyarakat
  12.   Penutup
  13.   Rujukan
    
    Penghargaan
   Assalamualaikum wbt...     
        Pertama sekali, saya ingin melafazkan syukur Alhamdulillah kerana telah berjaya untuk menyiapkan tugasan yang telah diberikan ini. Saya telah memilih tajuk ‘Masjid At-Taqwa Lahar Yooi’ sebagai kerja kursus saya. Sesungguhnya, tugasan ini banyak memberi pengalaman kepada saya dalam mencari maklumat, menemu bual masyarakat serta berdikari dalam menyempurnakan tugasan yang diberikan ini.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak masjid kerana membantu saya dalam menjalankan kerja kursus ini terutama sekali pihak Pengerusi Masjid At-Taqwa Lahar Yooi iaitu En. Arshad bin Mad Saleh kerana telah memberikan kerjasama dalam memberikan pelbagai maklumat serta persoalan yang saya kemukakan.
        Ribuan terima kasih diucapkan kepada kedua-dua ibu bapa saya iaitu Hilmy bin Abdul Rahman dan Rosidah binti Ismail kerana mereka banyak membantu saya dengan memberi sokongan moral serta kewangan dalam menyiapkan kerja kursus ini. Tanpa sokongan mereka, saya tidak dapat menyempurnakan tugasan ini dengan jayanya.
        Terima kasih juga diucapkan kepada penyarah saya, Ustaz Abdul Aziz bin Harjin kerana beliau banyak membantu dalam memberi info serta tunjuk ajar dalam mengendalikan kerja kursus ini. Tanpa tunjuk ajar dan bimbingan beliau, tugasan ini tidak dapat disiapkan dengan sempurna.
        Akhir sekali, tidak lupa diucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu saya dalam melakukan tugasan ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Dengan adanya teguran mereka, saya dapat memperbaiki segala kekurangan saya dalam menyiapkan kerja kursus ini. 

 Abstrak
Masjid merupakan sebuah institusi penting kepada semua umat Islam untuk menunaikan ibadat kepada Allah swt. Bangunan masjid dapat dilihat di mana-mana sahaja penempatan umat Islam bagi menyempurnakan ibadat mereka. Masjid menjadi simbol keunggulan syiar Islam dan kekuatan umat Islam dalam menyebarkan agama Islam. Di masjidlah, umat Islam dapat menunaikan solat secara berjemaah, melakukan aktiviti musyawarah, merapatkan silaturahim sesama masyarakat, penyatuan dua hati melalui majlis akad nikah dan sebagainya.
     Masjid juga dijadikan sebagai pusat kegiatan Islam dengan mengadakan pelbagai aktiviti. Antara kegiatan yang selalu dijalankan di masjid adalah seperti ceramah agama, pertandingan al-quran, tazkirah agama, pertandigan nasyid, majlis tahlil dan sebagainya. Masyarakat dapat mengambil peluang ini untuk sama-sama meng’imarahkan masjid yang berada di kawasan sendiri mahupun ketika berada di kawasan lain. Firman Allah dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat. Jika masyarakat Islam bersatu padu menjayakan kegiatan Islam ini, maka agama Islam akan terus kukuh di dunia ini tanpa berlaku sebarang kepincangan.
        Kesimpulannya, di masjidlah kita dapat menyebarkan ajaran Islam selain daripada melakukan ibadat solat berjemaah kerana masjid merupakan sebuah institusi yang penting kepada umat Islam. Jika umat Islam bersatu padu untuk menegakkan agama Islam, maka ajaran Islam akan terus berkembang dengan meluasnya.

Pendahuluan
‘Bismillahirrahmanirrahim’. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah, segala puji-pujian dan kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t, Tuhan pencipta dan pentadbir alam semesta serta limpah rahmat kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w. serta kaum kerabat keluarga serta para sahabat baginda.
        Institusi masjid merupakan sebuah institusi yang paling penting dalam kehidupan manusia. Institusi masjid merupakan sebuah institusi penting untuk menjalankan ibadat solat berjemaah serta menjalankan kegiatan keagamaan seperti musyawarah, majlis bacaan yasin serta majlis tahlil. Kita dapat melihat betapa pentingnya peranan masjid sebagai institusi keagamaan dalam menyebarkan agama Islam di serata dunia. Sebagai contoh, kita dapat melihat ketika di zaman rasulullah dahulu. Baginda menjadikan institusi masjid sebagai tempat penyebaran dakwah Islam. Bukan itu sahaja, masjid juga digunakan sebagai tempat tumpuan dan pusat bagi sebarang penyelesaian masalah individu dan masyarakat setempat. Masjid juga dijadikan tempat untuk Rasulullah s.a.w bersidang dengan para-para pemimpin dan duta-duta asing bagi meluaskan ajaran agama Islam.
        Di dalam kerja kursus ini, kita dapat mengetahui bahawa Masjid At-Taqwa Lahar Yooi ini menjalankan kegiatan-kegiatan yang dapat membantu dalam penyebaran agama Islam. Kegiatan-kegiatan ini akan dibincangkan di bawah ini nanti.

Isi / Huraian
Definisi Masjid
Apabila kita membincangkan tentang masjid, kita pasti akan terbayangkan peranan utama masjid itu sendiri iaitu masjid merupakan sebuah rumah Allah untuk menunaikan ibadat kepada Allah swt. Masjid berasal daripada perkataan ‘sa-ja-da’ yang bermaksud sujud iaitu perbuatan umat Islam meletakkan dahi yang mulia di ke tempat yang lebih rendah, iaitu selaras dengan tapak kaki.
Dalam konteks Islam, masjid merupakan sebuah institusi mulia yang digunakan oleh seluruh umat Islam untuk melakukan ibadah dalam membuktikan ketaatan dan pengabdian yang tulus dan ikhlas kepada Allah. Allah swt berfirman yang bermaksud. “Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapa pun bersama-sama Allah”.
Jadi, masjid merupakan tempat yang penting untuk kita menunaikan ibadat kepada Allah swt seperti solat secara berjemaah.

 

Sejarah dan Latar Belakang Ringkas Penubuhan


Masjid At-Taqwa Lahar Yooi

Masjid At-Taqwa Lahar Yooi ini terletak di Kampung Lahar Yooi, Pulau Pinang. Masjid ini berada dalam kawasan Tasek Gelugor. Bangunannya yang terletak bersebelahan dengan jalan raya utama Kampung Lahar Yooi ini memudahkan masyarakat serta musafir untuk menunaikan ibadat kepada Allah swt. Kebanyakan masyarakat yang bukan menetap di Kampung Lahar Yooi menunaikan ibadat di masjid ini jika mereka berada dalam kawasan Kampung Lahar Yooi ini. 
        Masjid At-Taqwa Lahar Yooi ini telah dibina pada tahun 1940-an iaitu dibina sebelum negara Malaysia mencapai kemerdekaan lagi. Pada tahun 1970-an, masjid ini telah dibina semula dengan memperbaharui semula struktur bangunan yang baru. Apabila masjid ini siap dibina, pelbagai prasarana telah disediakan bagi memudahkan umat Islam dalam menunaikan ibadat kepada Allah swt. Sebagai contoh, penggunaan LCD, pendingin hawa, pembesar suara dan sebagainya. Segala prasarana ini telah banyak membantu masyarakat dalam menunaikan ibadat. Misalnya, pada setiap hari Jumaat diadakan sembahyang Jumaat secara berjemaah. Khutbah Jumaat telah disampaikan dengan menggunakan pembesar suara agar seluruh umat Islam yang berada di kawasan terdekat dapat mendengar khutbah tersebut dan dapat mengambil iktibar dan pengajaran dengan apa yang disampaikan.
       Masjid ini telah mempunyai carta organisasi yang baru iaitu yang baru ditubuhkan pada bulan Januari 2011. Masjid ini dipengerusikan oleh En. Arshad bin Mad Salleh. Masjid ini juga terdiri daripada 3 orang imam yang akan menjalankan tugas mereka secara bergilir-gilir pada setiap waktu solat berjemaah. Imam-imam ini terdiri daripada :
1.  Hj Harun bin Hj Safie’
2.  Hj Zawawi bin Hj Ismail
3.  En. Mohd Zaki bin Ramli
Mereka bertiga ini juga menggalas jawatan sebagai penyampai khutbah Jumaat secara bergilir-gilir pada setiap minggu. Selain itu, terdapat juga muazzin yang akan melaungkan azan pada setiap solat 5 waktu. Mereka terdiri daripada :
1.  Hj Ramli bin Che Man
2.  Hj Sa’ari bin Che Man
3.  Hj Saidin bin Othman
Kemudahan Masjid
Masjid At-Taqwa Lahar Yooi ini mempunyai pelbagai prasarana serta kemudahan. Semua prasarana serta kemudahan ini dapat memudahkan umat Islam untuk menunaikan ibadat kepada Allah swt. Antara kemudahan yang disediakan ialah:
1.  Tempat mengambil wuduk
2.  LCD Projektor
3.  Mikrofon
4.  Pendingin hawa
5.  Kain telekung
6.  Rak meletak Al-Quran serta Al-Hadis
7.  Ruangan bermesyuarat

Ruangan Bermesyuarat



LCD Projektor dan Mikrofon



Tempat Mengambil Wuduk

Ruangan untuk Wanita Bersolat

Kain Telekung yang Desediakan


Masyarakat akan menggunakan kemudahan ini apabila diperlukan seperti ketika bersolat berjemaah di masjid ini.

Peranan Masjid Kepada Masyarakat
1.  Sebagai Tempat Menunaikan Ibadat
Masjid At-Taqwa Lahar Yooi ini mempunyai pelbagai aktiviti yang dijalankan pada setiap minggu. Aktiviti-aktiviti di masjid ini mempunyai unsur keIslaman yang jelas dan dapat memberi impak yang positif kepada penduduk kampung dan masyarakat sekeliling. Antara aktiviti yang dijalankan ialah kuliah agama yang dijalankan 3 kali dalam seminggu. Kuliah ini disampaikan selepas waktu maghrib sementara menunggu masuknya waktu Isyak. Kuliah ini diadakan pada setiap hari Isnin, Rabu serta Khamis dan akan dipengerusikan oleh imam masjid ini.
    Masyarakat setempat juga dapat menunaikan solat secara berjemaah di masjid ini pada setiap waktu. Selain itu, majlis bacaan Yasin juga akan diadakan pada setiap hari Khamis malam.
2.  Sebagai Tempat Mengembangkan Ilmu Serta Agama Islam.
Masjid ini juga telah mengadakan ceramah-ceramah agama yang disampaikan oleh imam masjid serta penceramah jemputan. Ceramah ini akan meningkatkan kesedaran kepada umat Islam dengan mengambil iktibar dan pengajaran terhadap isi kandungan yang disampaikan melalui ceramah tersebut.
Selain itu, masjid ini juga mengadakan aktiviti pertandingan nasyid. Pertandingan ini melibatkan pelajar sekolah agama rakyat yang berdekatan apabila terdapat perayaan Islam seperti ketika sambutan Maulidur Rasul.
3.  Tempat untuk Merapatkan Silaturahim
Dengan adanya masjid, hubungan silaturahim umat Islam dapat dirapatkan dengan mengadakan aktiviti kemasyarakatan. Masjid ini telah mengadakan aktiviti gotong royong perdana yang melibatkan seluruh penduduk kampung. Mereka akan membersihkan kawasan perkuburan masjid, kawasan dalam masjid serta luar masjid. ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Begitulah pepatah Melayu yang diamalkan oleh masyarakat dalam aktiviti gotong royong ini. Lebih kurang 30 % penduduk kampung ini mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan sebulan sekali ini.
Di samping itu, masjid ini juga mengadakan aktiviti tahunan yang diadakan setahun sekali iaitu seperti Majlis Jamuan Keluarga, Majlis Jamuan Raya, sambutan perayaan Islam seperti Isra’ dan Mikraj serta Nisfu Syaaban.

Program
        Pada tahun 2011 ini, masjid ini telah pun mengadakan program untuk qariah-qariah di kawasan Lahar Yooi ini. Antaranya ialah bantuan kewangan kepada anak-anak qariah yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di institut pengajian tinggi awam ataupun swasta yang terletak di Malaysia mahupun di luar Negara.
Selain itu, masjid ini juga akan menjemput khatib dari luar untuk memberi ceramah agama serta tazkirah kepada para qariah. Hal ini akan menarik perhatian kepada penduduk kampung untuk datang ke masjid menunaikan solat secara berjemaah.

Di sinilah ruangan aktiviti diadakan

Masalah dan Penyelesaian
        Masjid At-Taqwa Lahar Yooi ini juga menghadapi beberapa masalah. Masalah utama yang berlaku di masjid ini ialah kekurangan pemuda bersolat berjemaah di masjid ini. Hal ini kerana ramai pemuda di kampung ini telah berhijrah ke Bandar seperti Kuala Lumpur. Kebanyakan penduduk di kampung ini juga menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi awam dan swasta tidak kiralah di dalam negara mahupun di luar negara. Pemuda di kampung ini juga kebanyakannya bekerja di sektor perindustrian yang bekerja mengikut syif waktu.
        Selain itu, bilangan penduduk kampung yang bersolat secara berjemaah pada setiap waktu adalah kurang. Bilangan penduduk kampung yang bersolat secara berjemaah hanya lebih kurang 5 % sahaja. Hal ini kerana masjid ini mempunyai pesaing yang terdekat iaitu Surau Kampung Lahar Yooi. Surau ini berada di kawasan yang strategik kerana ia berada di tengah-tengah kawasan perumahan di kampung ini. Pada fizikalnya, surau ini terletak lebih kurang 800 m daripada masjid di kampung ini. Ramai penduduk kampung bersolat berjemaah di surau ini.
        Selain itu, di masjid ini juga berlaku kes-kes kecurian seperti wang tabung masjid. Kecurian selipar serta motosikal turut berlaku kawasan masjid ini. Jadi, AJK dalam organisasi serta masyarakat haruslah berwaspada dengan memantau keadaan masjid ketika berada di masjid ini.

Cadangan
        Pelbagai cadangan telah diusulkan untuk memperbaiki masjid ini. Antaranya ialah mengecat semula masjid serta pagar kubur. Kekurangan dana menyebabkan masjid serta pagar kubur tidak dapat dicat semula. Selain itu, pengerusi masjid ini akan mengadakan sebuah pertemuan dengan pemuda-pemuda di kampung ini untuk membincangkan mengenai barisan pemimpin pentadbiran masjid pada masa yang akan datang. Di samping itu, kursus pengurusan jenazah juga akan diadakan khusus untuk kaum lelaki serta kaum wanita bagi memudahkan pengurusan jenazah. Hal ini dapat menggalakkan panduduk kampung untuk beribadah di masjid ini.

Komen / Cadangan Diri Sendiri dan Masyarakat
        Penduduk di kampung haruslah mempunyai kesedaran untuk beribadah dengan menunaikan solat secara berjemaah di masjid. Masyarakat juga mestilah prihatin tentang perkara-perkara yang berlaku di kawasan masjid serta sama-sama selesaikan jika terdapat sebarang masalah seperti kes kecurian wang tabung yang berlaku di masjid ini. Setiap umat Islam haruslah mempunyai kesedaran serta bertanggungjawab dalam menjaga kesejahteraan masjid agar umat Islam dapat menunaikan ibadat kepada Allah swt dengan sempurna.

Penutup
Kesimpulannya, masjid merupakan sebuah institusi yang penting kepada umat Islam dalam menunaikan ibadat kepada Allh swt. Di masjidlah umat Islam dapat merapatkan hubungan silaturahim antara masyarakat, melakukan aktiviti kemasyarakatan, serta menunaikan solat secara berjemaah. Sama-samalah kita meng’imarahkan masjid dan menjaga kesejahteraan rumah Allah ini agar masyarakat Islam terus kukuh pada masa yang akan datang.

Rujukan
Pengerusi Masjid Lahar Yooi, En. Arshad bin Mad Saleh
Ibu dan bapa saya, Hilmy bin Abdul Rahman dan Rosidah binti Ismail